Ahad, 29 Ogos 2010

MALAYSIA DIKEDUDUKAN KE-37 DARIPADA 100 NEGARA TERBAIK....

BARU-BARU ini majalah Newsweek dalam edisi khas mengeluarkan senarai 100 negara terbaik di dunia. Lebih menarik lagi Malaysia menduduki tempat ke-37 dalam senarai tersebut.
Memang mengejutkan namun mungkin itu antara perubahan yang dibawa oleh majalah itu dengan buat pertama kalinya menjalankan kajian negara manakah layak dimartabatkan antara negara terbaik di dunia.

Kita katakan pembaharuan kerana majalah ini baru sahaja dijual awal bulan ini kepada jutawan California, Sidney Harman yang mengeluarkan sistem audio premium Harman Kardon.
Seperti mana kesuraman industri akhbar dan majalah yang melanda seluruh dunia masalah yang sama berlaku kepada Newsweek yang sebelum ini dimiliki oleh The Washington Post Company.

Newsweek yang bersaing sengit dengan majalah Time, kerugian AS$28 juta (RM88.6 juta) tahun lalu dan perolehan iklan jatuh sebanyak 37 peratus.
Harman dalam kata-kata aluan selepas pengumuman pembelian majalah tersebut menyatakan, “Newsweek merupakan harta negara. Saya berasa sangat bangga untuk mewarisinya daripada The Washington Post Company dan keluarga Graham selain tidak sabar untuk menghadapi cabaran kewartawanan, perniagaan dan teknologi yang besar,”.

Oleh itu pembaharuan pertama yang dilakukannya adalah menjalankan kajian negara manakah yang boleh dikatakan sebagai terbaik di dunia.
Hasilnya 100 senarai negara terbaik dikeluarkan dengan 10 negara kecil dengan jumlah penduduk yang sedikit (kecuali Jepun) menduduki tangga teratas.

Namun dalam mukadimahnya, pengarang telah menyatakan para pembaca di seluruh dunia mungkin akan menemui sesuatu yang disukai ataupun dibenci tentang senarai ini.
Pada masa yang sama senarai ini juga menunjukkan bahawa dunia ini adalah luas dan kita mempunyai pelbagai cara untuk melihat dan menilai tentangnya.
Ini sesuatu yang menarik kerana Newsweek sendiri seolah-olah tidak begitu pasti tentang pilihan yang dilakukannya.

Bukan berniat untuk memperlekeh mahupun menafikan kajian yang telah dibuat namun pasti terdapat beberapa kelompongan memandangkan usaha ini dilakukan berdasarkan kaca mata dan pandangan Barat mengenai apa yang ditakrifkan sebagai terbaik.
Pemilihan

Majalah Newsweek menetapkan pemilihan negara terbaik berdasarkan lima kategori iaitu pendidikan, kesihatan, kualiti kehidupan, daya saing ekonomi dan persekitaran politik. Semua faktor ini menjadi keutamaan yang menjurus kepada kesejahteraan negara.
Kesemua faktor ini kemudian digabungkan jumlahnya yang akhirnya menentukan di tangga mana sesebuah negara itu sepatutnya berada.

Sebagai contoh Malaysia dipilih berada di tempat ke-37 setelah semua lima kategori digabungkan dengan jumlah keseluruhan markah adalah 69.69 peratus.
Malaysia berada di tempat ke-14 dalam kategori daya saing ekonomi dengan markah 61.93 peratus, tempat ke-48 dalam kategori kualiti kehidupan dengan markah 69.28 peratus, faktor kesihatan di tangga ke-52 dengan markah 71.02 peratus, faktor pendidikan dengan markah 86.43 peratus di tempat 36 dan terakhir, persekitaran politik di tangga ke-54 dengan markah 59.80 peratus.

Di sebalik semua jumlah pemarkahan itu menduduki tempat ke 10 teratas adalah negara dari Eropah Utara iaitu Finland di tempat pertama, Sweden ketiga, Norway keenam, Denmark ke- 10 selain negara Eropah kecil lain seperti Switzerland, Luxembourg dan Belanda.
Di sini juga timbul kemusykilan bagaimana sebuah negara seperti Finland dan Norway yang tempoh musim sejuknya panjang dan gelap lebih dari enam bulan dalam setahun terpilih di antara yang terbaik.

Memang dari sudut “terbaik” negara ini mempunyai semua kualiti yang kehadapan dari negara-negara lain. Namun seperti yang dinyatakan pengarangnya soal “terbaik” ini masih boleh didebatkan walaupun ia sebenarnya satu usaha yang baik bagi mengiktiraf penat lelah yang dilakukan oleh kerajaan sesebuah negara dalam menguruskan negara mereka.
Namun soal “terbaik” ini masih lagi sesuatu yang subjektif apatah lagi negara yang agak terkebelakang seperti Costa Rica (35), Estonia (32) dan Latvia (35) mendahului Malaysia dalam senarai ini.

Lebih mengejutkan musuh umat Islam, Israel menduduki tempat ke-22 walaupun seperti yang kita sedia maklum berlaku serangan hampir setiap hari oleh penduduk Palestin yang marah dengan pencabulan yang dilakukan mereka.
Begitu juga dengan kedudukan Greece yang menduduki tempat ke-26 walaupun ekonomi dan sistem kewangan negara itu hampir lumpuh dan berita mengenai rusuhan oleh rakyatnya pernah mewarnai akhbar-akhbar utama dunia.

Mungkin jika kita bersikap realistik Malaysia masih lagi belum mencapai standard negara-negara maju seperti Itali, Jerman dan lain-lain.
Namun perasaan bangga harus ada di dalam diri kita setelah Malaysia dinobatkan yang terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura (20) dan keempat terbaik di Asia selepas Jepun (9) dan Korea Selatan (15).
Mungkin ada yang berpandangan negara yang bercuaca panas seharusnya lebih baik dari negara yang sentiasa sejuk seperti Norway atau Kanada.
Namun kerana keadaan ekonomi yang sempurna dengan hampir semua rakyatnya mempunyai kerja yang menjamin sekaligus memungkinkan struktur kesihatan dan pendidikan yang lebih baik diberikan kepada rakyatnya.

Selain itu dengan jumlah rakyatnya yang sedikit contohnya Finland sekitar 5.3 juta dan Sweden 9.3 juta memudahkan pengagihan kekayaan dan pendapatan diberikan secara adil dan mendorong suasana politik yang lebih stabil dan harmoni.
Jika dibandingkan dengan Pakistan yang menduduki tempat ke-89, Venezuela (71) dan Bangladesh (88) pastinya realiti kehidupan jika mahu dibandingkan umpama langit dan bumi.
Percakaran politik, jurang antara kaya dan miskin yang jauh berbeza serta sistem kesihatan dan pendidikan yang caca merba telah mengakibatkan ramai penduduknya berhijrah ke negara lain seperti Malaysia untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Realitinya banyak negara-negara di Asia, Amerika Latin dan Afrika masih jauh dari dari apa yang dikatakan “terbaik” oleh majalah Newsweek.
Bukan sahaja dibebani masalah sistem pendidikan dan kesihatan yang sememangnya teruk, hendak mendapatkan sesuap nasi dalam sehari pun masih lagi menjadi beban utama bagi negara-negara di Afrika.

Begitu juga kerana kemiskinan mengakibatkan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah, penculikan, pelacuran, rasuah dan pelbagai lagi seolah-olah sudah menjadi sebahagian dari kehidupan di negara-negara Amerika Latin.
Jika dilihat pada negara-negara yang menduduki tempat teratas senarai tersebut, mereka berkongsi resepi yang mudah iaitu elakkan dari berperang, kekal bertahan dan produktif walaupun dalam keadaan yang tertekan selain mempunyai suasana sejuk dan gelap lebih lama sepanjang tahun.

Yang jelas Malaysia cukup bertuah tersenarai di tangga ke-37 dengan resepi yang sama cuma bezanya cuacanya panas sepanjang tahun selain mempunyai penduduk yang terdiri dari berbilang kaum, satu-satunya keunikan yang tidak terdapat pada 36 negara di atas kita.
Lebih indah lagi dari senarai 36 negara itu Malaysia merupakan satu-satunya negara Islam yang sekaligus membuktikan negara bertuah ini terbaik untuk didiami semua kaum dan agama.

Sampai bila kita mesti dihina?

SIRI demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta dan beberapa tempat lain di Indonesia, benar-benar meloyakan Awang.

Jalur Gemilang dipijak, diludah dan dibakar. Bukan itu sahaja najis turut dilemparkan. Ugutan demi ugutan terus dibuat oleh beberapa penganjur tunjuk perasaan itu terutama Koordinator Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera). Antaranya mahu menjadikan rakyat kita dan kepentingan Malaysia sebagai sasaran.

Sebenarnya banyak usaha telah dilakukan bagi membendung kejadian seumpama itu termasuk kerjasama dan persefahaman melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan media Malaysia-Indonesia.
Namun demonstrasi liar tidak pernah susut apatah lagi berhenti. Tercetus sahaja isu dari semasa ke semasa maka sepantas kilat kedutaan kita diserbu. Adakalanya Awang tertanya-tanya apakah Malaysia sudah ditakdirkan menjadi kambing hitam kepada Indonesia.
NGO seperti Bendera yang didalangi oleh pihak tertentu, sentiasa berjaya dalam muslihat mereka sehingga mencetuskan ketegangan hubungan kedua-dua negara.

Memang ada negara lain suka jika Malaysia-Indonesia berbalah dan terdapat pemimpin pembangkang kita yang mengharapkan berlaku perseteruan agar dapat menangguk di air keruh. Apatah lagi darjah respons di Indonesia cukup tinggi, tidak seperti di Malaysia.
Ketika isu itu panas di sana, suasana di negara ini tenang. Rakyat kita tidak keluar berdemonstrasi kerana melihat hubungan dengan Indonesia begitu istimewa berbanding negara lain. Ia bukan bererti kita takut bersuara. Rakyat Malaysia sanggup turun di jalanan melakukan demonstrasi membantah kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) biarpun tahu kesannya terhadap tekanan politik antarabangsa dan ekonomi.

Tetapi ia berbeza dengan Indonesia - negara serumpun dan bersaudara. Ternyata kita banyak beralah dengan Indonesia. Malaysia seperti biasa, sentiasa percaya semua isu akan dapat ditangani dengan baik tanpa perlu ribut-ribut kerana itu budaya kesantunan nusantara. Awang bangga kerana rakyat Malaysia masih bersikap rasional dan tidak terikut-ikut sentimen liar penunjuk perasaan di sana. Padahal terlalu kerap nelayan dan bot pihak berkuasa Indonesia menceroboh perairan kita. Ketika jerebu teruk melanda negara ini saban tahun akibat kebakaran hutan di Indonesia, rakyat kita juga tidak keluar berdemonstrasi walaupun ia memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan aktiviti ekonomi.
Persoalannya sampai bila kita harus terus mengalah dan dihina?

Awang percaya isu terbaru ini akan reda sedikit masa lagi tetapi ia akan pasti berulang. Sedar atau tidak, bendera Malaysia paling banyak dibakar di bumi Indonesia. Kerap dan mudah sangat kita dihina seolah-olah Malaysia bukan negara berdaulat. Senario ini tidak berlaku dengan negara jiran lain.
Maka sudah sampai masanya semua pihak di negara ini membuka mata.
Dalam kita dituntut untuk terus menjaga hubungan baik dan memakmurkan jiran, kita perlu berpada-pada. Selama ini, pendirian berlembut dan begitu pemurah kepada Indonesia dalam banyak hal, telah mengundang padah. Untuk memberkas dan menghantar pulang pendatang haram dari negara itu juga kita terpaksa tunduk kepada tekanan dari seberang. Maka apabila diambil tindakan kemudian, ada sahaja pihak di Indonesia bertindak balas.
Janganlah mengharapkan pihak lain akan mengenang budi. Yang akhirnya dilihat buruk adalah Malaysia. Dari awal lagi, kita yang lemah dan kelemahan itu membawa ancaman kepada keselamatan nasional.

Awang berharap dalam masa terdekat ini, rakyat kita mengambil serius saranan Kementerian Luar agar jangan ke Indonesia melainkan bagi urusan penting. Keghairahan untuk ke negara itu bagi tujuan riadah seperti golf dan berlibur serta membeli belah dan melancong sewajarnya dihentikan. Untuk apa terhegeh-hegeh ke negara yang banyak menyaksikan kita dihina.
Walaupun tindakan demonstrasi liar itu melibatkan segelintir rakyat Indonesia tetapi sentimennya disemarakkan oleh media dan NGO sehingga membentuk persepsi buruk terhadap Malaysia, yang gagal dibendung oleh kerajaannya. Mesej daripada rakyat Malaysia harus disampaikan.
Banyak lagi pilihan yang kita ada. Semuanya boleh dilakukan tanpa perlu menggugat hubungan kedua-dua negara. Tidak perlu menunggu kerajaan mengambil keputusan besar, rakyat juga ada hak dalam membuat pilihan. Misalnya, untuk apa menghantar anak belajar perubatan di sana jika keselamatan mereka asyik terancam?

Sesungguhnya rakyat amat terganggu dan marah kerana penghinaan berterusan ini berlaku lebih-lebih lagi menjelang Hari Kemerdekaan Malaysia. Namun Awang sedikitpun tidak gundah kerana kita adalah lebih terhormat dan lebih bertamadun daripada golongan yang memijak dan membakar Jalur Gemilang. Ia akan mendorong kita untuk lebih berwaspada dan lebih gagah melangkah ke hadapan. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan. Jangan lupa, Malaysia juga adalah negara berdaulat...

Kesucian masjid terus dinodai

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kesucian masjid terus dinodai oleh pembangkang apabila Khamis lalu Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen pula diberi kebebasan berada di saf paling hadapan di Masjid at-Taqwa, Selayang Baru.

Tindakan itu terbongkar cuma selang sehari selepas umat Islam di negara ini dikejutkan dengan tindakan wakil rakyat DAP, Teo Nie Ching 'bertazkirah' di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat.

Perbuatan wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan sahaja memperkecilkan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang orang bukan Islam memasuki ruang solat tetapi turut menghina kesucian agama Islam.
Lebih malang, menurut sebuah laman blog, http://www.selangordaily.com, pihak yang bersekongkol bagi membenarkan Jee Keen memasuki ruang solat masjid tersebut adalah orang Melayu yang beragama Islam.

Dakwa blog itu, sama seperti kes membabitkan Nie Ching, Jee Keen juga menggunakan 'modal' yang sama iaitu bantuan kepada masjid untuk memasuki ruang solat seterusnya menyampaikan ceramah kepada umat Islam di masjid tersebut.

"Mereka mengetepi semua arahan MAIS demi cita-cita politik. Kejadian serupa pernah berlaku di Klang tahun lalu tetapi mereka ini tidak mengambil pengajaran sebaliknya, seolah mencabar Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku ketua agama Islam di Selangor," kata blog tersebut.

Dalam pada itu, majlis sumbangan yang disampaikan oleh Jee Keen disiarkan oleh sebuah akhbar, semalam.

Akhbar tersebut melaporkan majlis berkenaan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat, Dewan Undang Negeri (DUN), Taman Templer dengan diketuai pengerusinya, Mohd. Kassim Packiry.
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.
-utusan malaysia-

Sabtu, 28 Ogos 2010

PM sedia geran khas biaya program 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan akan mewujudkan geran khusus untuk program 1Malaysia bagi membolehkan golongan muda negara menjalankan aktiviti yang menyokong semangat gagasan berkenaan. Perdana Menteri berkata, pelancarannya dilaksanakan pada masa terdekat selepas pihaknya mencari mekanisme sesuai untuk merealisasikan idea yang dikemukakan menerusi Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN).
“Cadangan mengenai geran program ini antara idea yang baik dan ia akan dilancarkan untuk menyokong program 1Malaysia,” katanya selepas pembentangan hasil kajian makmal Pemuda BN di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, semalam.

Sesi townhall Makmal Pemuda BN itu membabitkan empat kumpulan iaitu pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, pendidikan serta perpaduan dan demokrasi itu adalah kemuncak sejak kaji selidik bermula Mac lalu. Keseluruhannya kaji selidik itu membabitkan lebih 7,500 responden di kalangan generasi muda yang sebahagian besarnya bukan ahli parti politik, tetapi belia tanpa sebarang kepentingan, selain mahu menyuarakan aspirasi, permasalahan dan cadangan dengan harapan menyumbang ke arah penambahbaikan khusus untuk belia. Berkaitan 1Malaysia, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, penerangan dari semasa ke semasa penting untuk memastikan kakitangan awam memahami dan jelas mengenai konsep gagasan berkenaan. “Bagaimanapun, tiada kompromi bagi yang cuba mencetuskan isu perkauman,” katanya. Najib juga menyambut baik saranan mewujudkan gaji minimum mengikut sektor bagi memastikan tenaga kerja negara tidak hidup di bawah paras kemiskinan.
Ditanya mengenai keahlian dalam BN, Najib berkata perkara itu dibincangkan dengan lebih terperinci pada konvensyen BN yang akan diadakan akhir tahun ini. Selain itu, pertanyaan mengenai subjek di sekolah yang bagaikan ‘memaksa’ pelajar, turut mendapat maklum balas Perdana Menteri yang akan menyampaikan perkara itu kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran. “Jika boleh, kita perkenalkan subjek yang fleksibel dalam kurikulum supaya pelajar dapat membuat pilihan,” katanya.

SULTAN SELANGOR MURKA...

MAIS diarah ambil tindakan pengurusan Surau Al-Huda SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan berduka cita berikutan kejadian di Surau Al-Huda Kajang Sentral Ahad lalu yang menyaksikan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memberi ucapan di situ.

Berikutan itu, baginda mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pengurusan surau berkenaan.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, dalam satu kenyataan media kepada Berita Harian, semalam berkata berikutan itu pihaknya akan menghantar surat amaran kepada Teo berikutan tindakannya memasuki ruang solat di Surau Al-Huda, untuk memberi tazkirah. Katanya, MAIS sudah memanggil pengurusan surau berkenaan semalam untuk menjelaskan isu terbabit. “Selepas meneliti penjelasan daripada pihak terbabit, MAIS mendapati bahawa ucapan oleh wakil rakyat itu di dalam dewan solat surau, berlaku seperti dilaporkan. “MAIS memandang serius berhubung isu ini memandangkan ia adalah kes kedua seumpamanya yang membabitkan ahli politik dan orang bukan Islam memberi ucapan di dalam masjid atau surau di Selangor. “Berikutan itu, MAIS membuat keputusan untuk mengambil alih surau dan menguruskan pentadbiran surau itu dengan serta-merta kerana insiden ini jelas bertentangan dengan titah Tuanku,” katanya.
Sebelum ini, pada Ogos 2009, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, berucap dalam satu majlis berbuka puasa di dewan utama Masjid Taman Sri Andalas sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan umat Islam. Mohamad Adzib berkata, MAIS juga mengingatkan mana-mana wakil rakyat bukan Islam untuk tidak mengulangi perbuatan sama serta menggesa supaya semua pihak termasuk parti politik agar lebih sensitif dengan perasaan umat Islam selain menjunjung titah perintah Sultan Selangor bagi menjaga kesucian institusi masjid dan surau di Selangor. Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata adalah menjadi tanggungjawab MAIS untuk menyiasat dan mengambil tindakan berkaitan perbuatan Ahli Parlimen Serdang itu. “Kita serah kepada Majlis Agama Islam untuk ambil tindakan. Apa-apa tindakan, dia (MAIS) berkuasa penuh dalam tindakan ini. Kalau dia anggap bertentangan Islam dan sebagainya, kita minta ambil tindakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam.

Jumaat, 27 Ogos 2010

Hikmah al-Quran diturun secara berperingkat

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
Kehebatan kitab suci sebagai mukjizat kerana ketinggian bahasa yang tak mampu ditandingi SATU bukti kerasulan Nabi Muhammad SAW adalah kitab al-Quran iaitu kalam (perkataan Allah) yang diturunkan-Nya kepada Baginda. Nabi terdahulu sebelum Baginda turut menerima wahyu yang terhimpun dalam bentuk kitab iaitu Nabi Musa, Nabi Daud dan Nabi Isa.

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad dengan lafaz dan makna, membacanya suatu ibadah, mukjizatnya hingga tidak ada manusia yang mampu mendatangkan satu ayat seumpamanya, dimulai surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.

Sebelum peristiwa penurunan al-Quran, Nabi Muhammad SAW dicetuskan hatinya oleh Allah untuk berkhalwat di Gua Hira bagi mengelakkan dirinya terkena tempias budaya jahiliah ketika itu yang penuh kemaksiatan, kezaliman dan keruntuhan akhlak yang sangat dahsyat. Gua Hira menjadi saksi penurunan wahyu pertama tanda kerasulan Baginda SAW. Setiap tahun Baginda menetapkan beberapa hari untuk beribadah di sana, khususnya pada Ramadan. Malam 17 Ramadan bermulalah sejarah awal turunnya ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW dan serentak dengan itu rasmilah pelantikan Baginda sebagai pesuruh Allah selepas seluruh umat manusia ternanti-nanti perutusan nabi terakhir selepas Nabi Isa. Pada malam itu, sedang Nabi SAW beribadat di dalam Gua Hira’ datanglah Malaikat Jibril membawa wahyu daripada Allah. Tarikh terbabit dinyatakan oleh ahli sejarah jatuh pada 6 Ogos 610 Masehi. Selepas turunnya wahyu pertama, proses penurunan wahyu terhenti seketika menyebabkan Nabi SAW mengalami kegusaran. Al-Baihaqi menyebut tempohnya ialah selama enam bulan dan selepas tempoh itu, turunlah ayat dalam surah al-Muazmmil. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam tempoh 23 tahun serentak dengan jumlah tahun perutusan Baginda sebagai rasul. Ayat al-Quran terbahagi dua iaitu ayat Makkiyah dan ayat Madaniyyah. Satu mashaf al-Quran mempunyai 30 juzuk, 114 surah, 6,326 ayat dan 77,437 perkataan. Ia diturunkan secara beransur-ansur mengikut peristiwa yang berlaku dan soalan diajukan kepada Baginda SAW. Hikmat ayat al-Quran diturunkan secara beransur-ansur ialah supaya ayat al-Quran mudah difahami dan dihafal sahabat, ayat turun adalah berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku dan ada juga ayat yang turun adalah jawapan kepada persoalan dikemukakan kepada Nabi SAW. Sesungguhnya al-Quran yang diturunkan pada malam 17 Ramadan adalah fasa proses penurunan al-Quran secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibril. Tarikh inilah yang menjadi petunjuk kepada sambutan nuzul al-Quran. Fasa pertama ialah Allah menurunkan al-Quran ke Luh Mahfuz secara sekali gus berdasarkan maksud firman Allah: “Bahkan apa yang didustakan oleh mereka itu ialah al-Quran yang mulia yang tersimpan di dalam Luh Mahfuz.” (Surah al-Buruj, ayat 21-22) Fasa kedua ialah penurunan pada Lailatulqadar dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia yang juga diturunkan sekali gus. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada Lailatulqadar.” – (Surah al-Qadr, ayat 1) Benarlah pernyataan Allah bahawa hanyalah Allah yang menurunkannya dan hanya Dia yang memeliharanya. Memang patutlah ia dianggap sebagai mukjizat agung Baginda SAW. Kehebatan al-Quran sebagai mukjizat kerana ketinggian gaya bahasa hingga tidak mampu ditandingi mana-mana pakar bahasa sejak zaman awal Islam sehingga ke hari ini. Pernah Baginda mencabar kaumnya yang menafikan kehebatan al-Quran supaya mendatangkan ayat seumpamanya tetapi gagal. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu kepada yang lain.” – (Surah al-Isra’, ayat 88) Orang yang mendengar Kalam Allah ini pasti terpesona dengan isi kandungan ayatnya kerana sentuhannya boleh meruntun jiwa terutama kepada mereka yang benar-benar memahami pengertian ayat itu. Penentang Islam zaman awal di Makkah pernah mencuri-curi dengar apakah yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW bagi mendapatkan kepastian adakah benar kitab ini turun dari Allah Yang Maha Agung atau ia memang hasil tulisan Nabi Muhammad sendiri.
Al-Walid bin Mughirah dan Utbah bin Rabiah yang kuat menentang Nabi sendiri terpesona dengan ayat al-Quran sehingga dituduh oleh kaumnya sebagai golongan telah disihir oleh al-Quran. Umar al-Khattab sendiri memeluk agama Islam selepas meneliti ayat dalam surah Toha yang menjadi titik tolak lonjakan jiwanya meninggalkan cara hidup jahiliah kepada nur Islam penuh kemuliaan. Mukjizat al-Quran diperlihatkan juga melalui isi kandungannya yang menceritakan mengenai perkara ghaib sudah berlaku mahupun yang akan datang. Kisah penciptaan dan sejarah awal Nabi Adam dan Hawa di syurga dinyatakan secara jelas dalam al-Quran. Kesudahan hidup manusia di alam kubur dan alam akhirat juga dijelaskan oleh al-Quran bahawa hayat ini ada penghujungnya yang tidak dapat disangkal oleh fikiran waras manusia. Ayat al-Quran menuntut manusia membongkar pelbagai persoalan kehidupan termasuk perkara yang berkaitan dengan ilmu sains seperti kejadian alam, langit dan bumi serta di cakerawala. Ini perlu dikaji supaya semua fakta itu diyakini benar, membawa kepada pengukuhan iman dan akidah dalam diri.
Firman Allah yang bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Quran itu benar.” – (Surah Fussilat, ayat 53) Jika dibongkar dengan lebih mendalam keseluruhan ayat al-Quran, pasti akan jelas betapa tinggi nilai mukjizat Kalam Ilahi ini. Justeru, berpegang kepada al-Quran, menghayati ayatnya, kesungguhan membacanya mestilah dilakukan sepanjang masa dan tidak bermusim hanya di bulan Ramadan. Namun memperingati detik turunnya wahyu pertama yang berlaku di bulan Ramadan ini mampu menjadi suntikan semangat kepada orang beriman untuk membudayakan al-Quran dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Jelebu, Negeri Sembilan

Isnin, 23 Ogos 2010

Belia mampu ubah landskap peradaban

Suara golongan belia mampu merintis hala tuju masyarakat global dan membawa perubahan yang besar kepada landskap peradaban dunia.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berkata, untuk menjadi pemimpin yang baik, golongan belia di seluruh dunia perlu berani bersuara dan bersedia melakukan pembaharuan.

"Berbanding generasi terdahulu, generasi muda mempunyai suara yang lebih berkuasa kerana golongan ini yang mendominasi sebahagian besar populasi dunia.
"Saya menyeru pemimpin-pemimpin muda yang ada agar berganding bahu memupuk persefahaman dan kerjasama yang erat supaya peradaban dunia yang lebih baik dapat dibentuk," katanya.
Beliau berkata demikian melalui siaran rakaman video pada majlis perasmian Persidangan Model Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (GMUN) 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu; Presiden Perhimpunan Agung GMUN 2010, Yue Qiushi dan Ketua Setiausaha GMUN 2010, Estaban Ramirez Gonzalez.
Pada persidangan itu, hampir 500 peserta berusia antara 18 hingga 24 tahun termasuk 62 wakil dari Malaysia diberikan peranan sebagai diplomat atau wakil tetap ke PBB bagi mengambil bahagian dalam simulasi sesi pleno Perhimpunan Agung PBB (UNGA).
Resolusi persidangan itu akan dibentangkan kepada Presiden UNGA, Joseph Deiss bulan depan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha GMUN 2010, Estaban Ramirez Gonzalez dalam ucapannya berkata, penyertaan beliau dalam GMUN 2010 adalah sebahagian daripada proses pembelajaran untuk menjadi seorang pemimpin.

"Persidangan ini memberi peluang kepada generasi muda menyalurkan pendapat, berkongsi idea dan mencari penyelesaian kepada isu-isu global yang timbul pada hari ini.
"Ia merupakan satu platform yang terbaik untuk mengasah bakat kepimpinan kami," katanya

Tindakan tegas terhadap pihak yang bangkit sensitiviti kaum, agama: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan bertindak tegas terhadap pihak yang cuba mengancam keharmonian dengan cara membangkitkan sensitiviti kaum dan agama, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Beliau berkata, walaupun laporan mengatakan isu itu tidak begitu ketara di peringkat bawahan tetapi ia perlu dibendung supaya keselesaan rakyat terjamin.

"Laporan yang saya terima tidak melihat satu keadaan yang tegang dan membimbangkan tetapi dalam hal ini, dari dulu lagi saya telah tunjukkan bahawa kita ambil tindakan yang tegas.

"Saya memang tak suka dan tak akan benarkan perkara sebegini mengeruhkan keadaan," katanya ketika diminta mengulas kejadian sebuah surau baru di Taman Impian Pulai Impian, Temiang, Seremban, yang disimbah cat merah awal pagi tadi. Terdahulu, Hishammuddin menghadiri majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan kepada ibu tunggal dan anak yatim di sini malam ini. Sehubungan itu, beliau berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, dan semua ketua polis negeri telah diarah supaya bertindak sekiranya berlaku keadaan yang menimbulkan rasa tidak selesa kepada rakyat oleh individu atau kumpulan tertentu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat usaha, sama ada dirancang atau secara kebetulan, yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk memecah-belahkan keharmonian kaum di negara ini. "Cuma dalam siasatan, kita kena pastikan tidak ada pihak yang dianiaya," katanya. Hishammuddin turut ditanya sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan isu penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dalam khutbah Jumaat di beberapa kawasan di negeri itu baru-baru ini. Katanya, perkara itu susah untuk dikatakan tetapi dalam soal yang menyentuh agama, semua pihak perlu bertindak secara rasional dan bijaksana kerana apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang unik, kerana suasana seumpama itu pernah dilalui sebelum ini. "Maka dalam hal ini, saya percaya pihak berkuasa mampu memastikan bahawa keselamatan akan terjamin, orang ramai akan berada dalam keadaan selesa dan pihak tidak bertanggungjawab itu akan dibawa ke muka pengadilan," katanya. Mengenai isu doa dalam khutbah Jumaat, Hishammuddin berkata apa yang lebih penting ketika ini adalah memastikan siapa yang bercakap benar.
Katanya, sudah menjadi tugas polis untuk menyiasat sekiranya laporan telah dibuat kerana hanya dengan siasatan yang terperinci, berani dan telus serta tidak condong kepada mana-mana pihak, barulah sesuatu kebenaran itu dapat diketahui. "Jadi, biarlah ia berjalan dalam proses biasa...kita nak siasat kerana nak tahu apa yang sebenarnya berlaku, kerana dalam kes ini, ada yang menyokong, ada yang kata fitnah, disalah erti, dan ada yang kata ia disalah lapor," katanya. - BERNAMA

Rabu, 11 Ogos 2010

SALAM RAMADHAN....

Ingatan tulus ikhlas daripada :

PIHAK PENGURUSAN SERTA SELURUH WARGA
PERSATUAN BELIA MELAYU KAMPUNG IDAMAN (PEKIDAM)