Isnin, 1 November 2010

PANDANG SERIUS PERINGATAN RAJA-RAJA

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Kebimbangan raja-raja Melayu terhadap trend politik semasa dan isu perkauman yang berlaku sejak kebelakangan ini sepatutnya dipandang serius oleh rakyat negara ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa semua pihak mengambil iktibar daripada peringatan tersebut sekiranya mereka benar-benar menghargai keamanan dan ketenteraman yang dinikmati negara sekarang.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, semua pihak tidak kira rakyat, tokoh korporat mahupun ahli politik perlu mengambil berat perkara itu kerana ia cukup kritikal dalam menentukan nasib dan masa depan negara.
"Kebimbangan tersebut yang dilontarkan hasil mesyuarat Majlis Raja-Raja mencerminkan penelitian mendalam terhadap nasib orang Melayu di negara ini sebelum menitahkan mereka supaya bersatu kerana khuatir dengan situasi perpecahan yang semakin kronik," katanya.
Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah mengeluarkan kenyataan mengenai kebimbangan majlis tersebut terhadap trend politik semasa di negara ini yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan negara.

Tegas Osman, rakyat perlu terus menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan dan mengelakkan daripada menyertai program yang boleh membawa kepada pertelingkahan dan perselisihan faham antara kaum sehingga menjejaskan kemakmuran serta keharmonian negara.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (DPMK), Tan Sri Khalid Abdullah berpendapat, kebimbangan tersebut seharusnya menjadi ingatan kepada pemimpin parti politik untuk tidak mengamalkan perjuangan sempit.

Katanya, pemimpin parti politik di negara ini seharusnya memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan daripada kontrak sosial.
Beliau berkata, semangat yang diterapkan kepada ahli parti perlu mengikut permuafakatan dan persefahaman antara kaum bagi memastikan perkara yang tidak diingini membabitkan isu perkauman berlaku.

"Mereka tidak boleh menggunakan isu-isu perkauman untuk menarik rakyat menyokong mereka.
"Rakyat juga perlu bijak menilai dan menentukan pilihan mereka, sikap bertolak ansur antara kaum juga akan menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini untuk mengelak tercetusnya kembali peristiwa berdarah 13 Mei," katanya.

Selain itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Usahawan Masyarakat India Hulu Langat, S. Sunder berpendapat, kebimbangan tersebut ada rasionalnya kerana masyarakat sekarang seolah-olah membelakangkan perkara-perkara yang boleh membentuk perpaduan.
"Bagi memastikan rakyat terus bersatu tanpa mengira kaum, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan memahami konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula mahu kebimbangan majlis tersebut dijadikan panduan masyarakat untuk tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan negara.
Katanya, masyarakat seharusnya mempunyai iltizam untuk mengekalkan keamanan negara bagi mengelak sebarang peristiwa yang tidak diingini.

"Kita tidak mahu keamanan tersebut tergugat hanya kerana perjuangan politik yang bersifat peribadi semata-mata," katanya.