Jumaat, 16 April 2010

KEMPEN KEAHLIAN PEKIDAM




PEKIDAM AKAN MEMBUKA KAUNTER KEAHLIAN PEKIDAM PADA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN YANG AKAN DIADAKAN PADA 18 APRIL 2010 DALAM USAHA MENAMBAH KEAHLIAN.


- SETIAUSAHA PEKIDAM -

Selasa, 16 Mac 2010

Skim pencen pekerja swasta 2011

KUALA LUMPUR: Kira-kira 11 juta individu pekerja swasta dan persendirian dijangka menikmati skim pencen mulai pertengahan tahun depan bagi membolehkan mereka mempunyai saraan hari tua. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) sedang merangka skim pencen itu, mirip skim pencen sektor awam, terutama bagi golongan berpendapatan rendah. “Kajian mendapati jangka hayat rakyat Malaysia kini semakin meningkat, sehingga menyebabkan ramai warga tua yang memasuki kategori miskin tegar selepas menghabiskan wang simpanan tua mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Malah, ada banyak kes ibu bapa tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada anak mereka kerana keadaan sosioekonomi yang sudah berubah dan terpaksa mencari perlindungan di rumah orang tua.

“Golongan miskin ini memerlukan jaringan keselamatan sosial mirip kepada skim pencen sektor awam. Jadi, kerajaan memutuskan sudah tiba masanya pekerja swasta dan persendirian turut mempunyai skim pencen apabila bersara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian sijil program latihan kemahiran anjuran Wanita MIC di sini, semalam.

Subramaniam berkata, caruman KWSP sebahagian besar pekerja biasa atau berpendapatan sederhana tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka selepas bersara.
“Bagaimanapun, untuk melaksanakan skim pencen swasta itu kita perlu meminda akta berkaitan dan kaji kadar sumbangan Perkeso yang setimpal bagi membolehkan penerimaan pencen munasabah mengikut keperluan semasa. Saya jangka satu kerangka asas dapat disiapkan pada pertengahan tahun depan untuk pertimbangan kerajaan.

“Selain itu, kementerian saya juga sedang menyelaras skim bantuan khusus bagi mereka yang diberhentikan kerja,” katanya.

Dr Subramaniam berkata, potongan 2.25 peratus daripada gaji, termasuk 0.5 peratus sumbangan pekerja sekarang, adalah untuk skim insurans yang hanya dibayar apabila seseorang hilang upaya kekal.

Jelas beliau, individu bekerja sendiri pula tidak mempunyai skop masa bekerja yang khusus manakala lokasi tempat kerja mereka sukar ditentukan, sekali gus memerlukan rumusan lebih terperinci sebelum skim pencen bersesuaian dapat dilaksanakan.

Katanya, modul yang diguna pakai negara Scandinavia, di mana seseorang pekerja menyumbang 30 hingga 40 peratus daripada gaji bulanan untuk skim pencen didapati tidak sesuai digunakan di negara ini kerana perbezaan tangga gaji dan faktor sosioekonomi.

- sumber berita harian -

Isnin, 15 Mac 2010

152,070 kekosongan jawatan didaftar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 152,070 kekosongan jawatan didaftar dalam laman portal carian jawatan kosong Jobs Malaysia sehingga Mac ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata, mengikut statistik, sebanyak 78,423 majikan mendaftar pada tahun lalu, manakala pada tahun ini sehingga Mac sebanyak 13,115 majikan. “Jawatan kosong itu merangkumi pelbagai bidang pekerjaan iaitu pentadbiran pengurusan, profesional, teknikal, pekerja mahir, pekeranian sehingga peringkat terendah pekerja am,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Penempatan Pekerjaan anjuran Kelab Belia 1Malaysia Kota Damansara dengan usaha sama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, di sini semalam. Sebanyak 30 syarikat terbabit dalam program itu yang memberi peluang kepada pencari kerja bertemu dengan bakal majikan, mendapatkan maklumat serta memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan kehendak, kemahiran dan kelulusan yang dimiliki.

Maznah menasihatkan golongan siswazah agar tidak terlalu memilih pekerjaan sehingga menyukarkan mereka untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan, sebaliknya merebut peluang yang ditawarkan.

“Pengalaman bekerja diambil kira untuk proses temu duga seterusnya. Graduan seharusnya menjadikan pengalaman kerja sebagai satu proses mematangkan diri... tiada istilah tiada peluang pekerjaan kerana statistik menunjukkan masih banyak kekosongan jawatan,” katanya.

Beliau berkata, 152,070 kekosongan yang ada diharap dapat diisi graduan untuk mengelakkan lambakan pekerja asing.

- sumber berita harian -

Ahad, 14 Mac 2010

RENUNGAN HARI INI : Orang Yang Paling...

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan...

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka

RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL...!

Sabtu, 13 Mac 2010

RENUNGAN JUMAAT

Hadith :
Dari Abu Sa’id al-Khudri, dari bapanya r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Apabila seseorang kamu menguap, maka hendaklah ia menutup mulutnya kerana syaitan dapat masuk.”

(Muslim)
Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:" Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.”

Riwayat Muslim

Khamis, 11 Mac 2010

BUKAN MUSTAHIL MELAYU BERSATU

Oleh FATINI YAACOB

KELMARIN buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata telah dilancarkan dengan sempurnanya oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada beliau kerana keberanian melancarkan buku itu.

Walaupun perjuangan Natrah dahulu tidak diterajui oleh pemimpin UMNO, hanya disertai oleh ahli-ahli UMNO tetapi atas kebenaran sejarah dan apresiasi sejarah, Muhyiddin sanggup meletakkan dirinya melancarkan buku ini.

Kerana buku Natrah adalah kisah benar satu episod sejarah yang sanggup meleburkan kepentingan politik demi agama.

Saya berterima kasih dan percaya dengan kesudian Ustaz Nasharudin Mat Isa dan jawatan kuasa tertinggi Pas yang hadir ke majlis pelancaran buku ini juga sebagai menyatakan istiqamah parti tersebut, dalam menyambut usaha yang baik ke arah perpaduan Melayu dan mengangkat martabat Islam.

Saya secara peribadi turut mengundang ahli jawatankuasa tertinggi parti PKR ke majlis pelancaran buku ini. Namun sayangnya hasrat saya untuk melihat detik perpaduan tiga kelompok pemimpin tertinggi parti ini dalam majlis pelancaran buku Natrah yang dulunya memang menyatukan orang Melayu dalam perjuangan membela Islam dalam Natrah, tidak tercapai.

Saya percaya dan doakan agar satu hari akan datang juga detik ini. Detik penyatuan dan perpaduan Melayu demi agama yang dinaungi oleh kasih sayang Allah.

Sebenarnya buku Natrah yang saya tulis kali ini, menghantar mesej dan makna yang lebih besar daripada Natrah yang saya tulis dalam majalah Dewan Masyarakat 20 tahun yang lalu.

Buku itu menuntut pemerhatian yang teliti dan tindakan yang penting terhadap memartabatkan Islam di tempatnya, terutama dalam politik dan perundangan negara kini.

Sebenarnya di sebalik kisah Natrah ada perjuangan yang lebih hebat, daripada sekadar kisah sedih hidup Natrah dan kisah cinta Natrah dan Mansor Adabi. Dan semua ini tidak ada di dalam majalah Dewan Masyarakat yang saya tulis dahulu.

Buku ini adalah himpunan semangat dan roh pejuang-pejuang Natrah yang memperjuangkan iman di dada Natrah. Keikhlasan perjuangan mereka inilah dengan redha Allah meresap jauh menyentuh hati orang Melayu turun temurun, zaman berzaman sehingga kini. Kisah perjuangan itu saya rakam khas sehingga lapan bab di dalam keseluruhan 23 bab buku itu.

Sebenarnya kisah pengorbanan dalam Natrah ini membabitkan pelbagai jenis. Ada pengorbanan wang ringgit dan harta benda untuk dibuat derma bagi pembiayaan mahkamah dalam kes Natrah. Ada pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit oleh pejuang-pejuang Natrah seperti Karim Ghani, Dr. Burhanuddin Helmi, Mohd Taha Kalu, Tunku Abdul Rahman dan Hussien Onn (Tun), Ahmad Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama).

Namun yang paling tinggi nilainya adalah pengorbanan jiwa dan pengorbanan kepentingan diri dan kepentingan politik. Saya terharu membaca pengorbanan ini.

Walaupun diterajui oleh Dr. Burhanuddin Helmy dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dianggap sebagai parti kiri semasa itu, namun ahli-ahli UMNO semasa itu seperti Sardon Jubir (Tun), Darus Sharrif yang juga jawatankuasa UMNO Johor dan Geylang Singapura turut sama berada dalam Jawatankuasa Tindakan Natrah (JKTN).

Tunku Abdul Rahman dan Hussien Onn pula sanggup meneruskan usaha-usaha perjuangan membebaskan mereka yang dikenakan hukuman gantung kerana merusuh selepas semua JKTN dipenjarakan.

Kelompok kecil ahli-ahli parti Hizbul Muslimin juga ikut berjuang bersama. Ini bermakna pada masa Natrah, demi kepentingan agama, semua orang Melayu meleburkan kepentingan peribadi masing-masing demi membela Islam yang dihina penjajah.

Keadaan yang sama barangkali tidak jauh bezanya jika kita lihat keadaan politik hari ini. Setelah dekat 60 tahun tragedi Natrah, kini kita kembali berada dalam keadaan yang berat dan mengancam dari segi politik.

Kalau dulu musuh politik dan agama kita adalah jelas iaitu penjajah, sekarang kita jadi bingung kerana keadaan kuasa yang semakin terancam walaupun kuasa masih ada di tangan kita. Kuasa majoriti yang sedikit kita pegang semakin goyah kerana perpecahan sesama kita.

Dalam keadaan tertentu, suasana penghinaan Islam pada zaman penjajah dahulu juga wujud, walaupun barangkali dalam bentuk yang berbeza. Penghinaan terhadap Islam sekarang berlaku dari dalam dan luar diri kita.

Dari ‘dalam diri’ kita’ penghinaan berlaku apabila kita tidak meletakkan martabat Islam pada tempatnya. Dalam percaturan politik, kita meletakkan kepentingan diri dan kuasa melebihi kepentingan awam dan kepentingan Islam.

Kita sanggup mengetepikan Islam dan hukum-hakam Islam asal kuasa dan kepentingan diri dipenuhi. Elemen ini ada pada semua parti Melayu hari ini. Mereka masih belum boleh duduk semeja, berdamai dan berunding demi sebab yang lebih besar – meleburkan kepentingan parti demi survival Islam di tangan orang Melayu.

Dari ‘luar diri’ kita, penghinaan terhadap Islam jelas berlaku apabila orang bukan Islam sudah berani membuat provokasi kepada agama dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Penggunaan kalimah Allah, mempersoalkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah contoh-contoh provokasi yang jelas terhadap orang Islam. Mereka akan terus berani berbuat demikian sekiranya kita tidak kuat memegang prinsip jati diri orang Islam.

Kita harus belajar daripada sejarah dahulu termasuk sejarah perpaduan yang unik lagi istimewa dalam kisah Natrah di kalangan bangsa-bangsa Cina, India dan Serani.

Mereka ikut berjuang membantu orang Islam ketika itu sehingga ikut terkorban. Semangat itu hanya diperolehi kerana kesatuan jitu orang Islam ketika itu.

Hanya dengan perpaduan dan penyatuan hati orang Melayu yang ikhlas kerana Allah, yang tidak pentingkan diri, yang memungkinkan kita membuat percaturan politik yang bijaksana, yang tidak merugikan Islam pada zaman mana pun jua, termasuk masalah perpecahan politik sesama kita pada hari ini.

Bagi saya sebagai pembaca sejarah, tidak ada suatu pun kuasa yang dapat menghancurkan dan meleburkan kita, sekiranya kita bersatu hati dan mengikhlaskan diri demi perjuangan yang murni – iaitu agama.

Pengorbanan ini bukannya sukar walaupun tidak terlalu mudah. Bangsa yang besar adalah bangsa yang tahu menilai pengorbanan pejuang-pejuang yang terdahulu.

Pemimpin yang besar adalah pemimpin yang tahu membuat pengorbanan diri demi kepentingan bangsa dan negara.

Natrah di tangan saya kini telah melampaui sifatnya sebagai penceritaan seorang individu. Natrah adalah kisah kita, kisah perjuangan kita.

Jika demikian kentalnya roh dan semangat penyatuan para pejuang dan orang Islam masa dulu sehingga menyusup ke dalam sanubari kita sehingga ke hari ini, apakah percaturan politik yang bakal kita hantar kesannya kelak untuk generasi Islam 60 tahun lagi?


Datin Seri Fatini Yaacob ialah Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia

Rabu, 10 Mac 2010

Umat Melayu besar atau Melayu kecil?

Oleh - A.Aziz Deraman

Pada 5 hingga 7 Februari lalu rombongan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), diketuai Tan Sri Prof Emeritus (Dr) Ismail Hussein telah ke kota Medan, Indonesia kerana Seminar Hubungan Kebudayaan Serumpun di Fakulti Sastera, Universiti Sumatera Utara (USU).

Acara kunjungan kali ini dimulakan dengan majlis forum pada 5 Februari di Perpustakaan Daerah Medan (PDM) yang turut dihadiri Konsul Jeneral Malaysia. Penulis, Ismail Hussein dan Kepala PDM menjadi ahli panel forum tersebut, manakala Datuk Dr Zainal Kling, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Prof Dr Wan Saifuddin, Dekan Fakulti USU menjadi pembicara seminar pada 6 Februari.

Isu hubungan Indonesia-Malaysia yang timbul sejak beberapa tahun lalu masih belum reda sepenuhnya. Di kota-kota dan di merata desa Indonesia, rakyatnya tidak henti bercakap tentang kezaliman dan penganiayaan di Malaysia, kononnya dilakukan para majikan Malaysia terhadap pembantu rumah dari Indonesia. Pekerja-pekerja kilang dan ladang ikut dikaitkan dengan situasi sama, kononnya diberikan upah tidak sepadan dan diperlakukan sebagai ‘hamba’ atau ‘budak’.

Dalam keadaan Malaysia seperti tiada pilihan, media Indonesia, baik elektronik terutama stesen TV dan akhbar-akhbar nasional serta daerah terus-menerus membuat liputan negatif. Sesudah menonton dan menatap beberapa beritanya, ternyata ada keserongan persepsi dan perspektif berbeza, tidak tepat dan dibuat-buat untuk publisiti, kepentingan kelompok, ada niat jahat atau fitnah.

Penulis memang mengamati hubungan Indonesia-Malaysia sejak 30 tahun lalu. Penulis pernah ke sana dan berada di Indonesia pada 1976, mengunjungi kota-kota utamanya dari Jakarta sehingga ke Ujung Pandang di Sulawesi dan sejauh Acheh di Sumatera atas biaya pemerintahnya melalui Departmen Pendidikan dan Kebudayaan. Sejak itu sudah belasan kali penulis berulang-alik atas urusan rasmi dan peribadi. Kenalan dalam pelbagai bidang semakin bertambah, apalagi setelah 10 tahun memimpin Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia.

Penulis masih mengekalkan silaturahim dan hubungan budaya dengan kelompok bahasawan, sasterawan dan cendekiawan di sana. Apalah ertinya semua hubungan mesra dan persahabatan selama ini, sehingga bara permusuhan ditiup kembali. Apakah mungkin timbul kerana adanya cucukan jarum asing atau gerakan dari dalam yang mencemburui keakraban hubungan dibina semasa pemerintahan Presiden Soeharto dan diperkukuh Presiden Bambang Yudhoyono sekarang atau saat mesra diplomatik yang dipulihkan semasa Presiden Soekarno akibat konfrontasi pada 1963?



Buta sejarah, budaya

Isu-isu mutakhir ini ternyata marak di kepala generasi muda. Generasi muda Indonesia agaknya sama dengan generasi muda Malaysia, kebanyakannya buta sejarah dan tidak celik budaya. Mereka sudah tidak memahami sejarah kepulauan Melayu atau kenapa bahagian besar Asia Tenggara itu dikenali sebagai dunia Melayu. Mereka tidak diajarkan lagi akan kesatuan sifat dan persatuan bangsa serumpun Melayu itu.

Mereka tidak tahu erti umat Melayu besar atau bezanya dengan Melayu kecil. Melayu besar yang berindukkan Asia Tenggara dengan diasporanya bertebar sehingga ke Afrika Selatan, Malagasi, Sri Lanka, Kepulauan Cocos di Australia dan gugusan kepulauan kecil di tengah lautan Pasifik itu belum ada gambaran di kepala.

Rasa dan minda budaya, persamaan amalan hidup, nilai, warisan dan kesenian yang bersumberkan bahan flora dan fauna yang sama itu tidak dihayati. Memori kesejarahan lebih 2,000 tahun lalu telah hilang. Indonesia merdeka pada 1945 dan Tanah Melayu pada 1957 sehingga terbentuknya Malaysia tahun 1963 itu, adalah nama-nama baru, tetapi sama geobudayanya.

Dalam sejarah serumpun, migrasi penduduk dalam lingkungan serantau, jangan dianggapkan sebagai kedatangan bangsa asing. Istilah pendatang tanpa izin (PATI) sekarang timbul kerana sifat kenegaraan dan wilayah negara bangsa baru, misalnya Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura hari ini. Keberadaan rumpun Melayu keturunan Jawa, Minang, Banjar, Bugis, Rawa, Mandailing, Kerinci, Acheh di Malaysia itu adalah kerana perpindahan dan kembara silam di wilayah yang sama. Jadi kalau difikirkan, maka persoalan seni Ketoprak, Barongan, Wayang Purwa, Tarian Piring, Tarian Dabus atau sebagainya di Johor, Perak dan Selangor itu adalah warisan serumpun yang dibawa keturunan yang menetap di sini.

Orang muda di Indonesia menuntut hak dan mengatakan orang Malaysia sebagai pencuri atau ‘maleng’, satu istilah berat tanpa usul periksa. Soal tarian Pendet, asalnya Bali dan bersifat ritualistik, tidak pernah wujud di Malaysia dipanaskan seolah-olah Indonesia akan berperang esok lusa dengan Malaysia. Indonesia tidak perlu mendaftarkan hak cipta atau patennya, kerana itulah usaha mudah yang akan dipersetujui musuh terhadap kepentingan kesatuan kerangka peradaban atau umat Melayu besar tadi.

Kemelut hubungan Indonesia-Malaysia, sebenarnya tidak berapa menjadi pertikaian akademik dan kesarjanaan. Ilmuwan memahaminya. Dalam bitara kesarjanaan Melayu, nama Malaysia itu pernah digunakan sejak awal abad lalu lagi, apabila sarjana merujuknya kepada alam Melayu luas. Penggunaannya oleh Cesar Adib Majul, sarjana Filipina tersohor yang menulis ‘Islam Comes To Malaysia’ atau Wallace, sahabat Charles Darwin yang menulis ‘The Malay Archipelago’ berdasarkan taburan persamaan flora dan botani serantau.

Jadi kenapakah salah faham dan pertikaian baru boleh timbul jika tanpa nawaitu tidak sihat? Jika manusia serumpun ini cukup ilmu dan memahami geografi dan geobudaya alam sendiri, maka perkongsian perjuangan politik misalnya gerakan nasionalisme sebelum kemerdekaan Indonesia dan Malaysia menjadi amat mudah untuk difahami. Demikian juga perkongsian matlamat kesejah-teraan sosiobudaya di bidang bahasa, persuratan, nilai-nilai budaya yang sama, maka rasa dan minda Melayu besar itu akan sentiasa terpelihara.



Retak menanti belah

Semasa Seminar di USU, seorang anak muda kelompok pemikiran generasi baru menuduh orang Malaysia berhati busuk dan selalu dengkikan Indonesia. Keresahan sedikit timbul di kalangan audiens tetapi dapat diredakan Datuk Zainal Kling. Beliau menelusuri segala sifat asal budaya dan perkongsian sejarah tadi dan menuding kepada masalah sikap orang seperti anak muda itu.

Banyak kes di Malaysia yang tidak digembar-gemburkan sebagaimana terjadi di tanah seberang. Ada pembantu rumah yang menipu majikan, mencuri barang kemas, melarikan anak majikan, membuang bayi, merabut, memecah masuk rumah, mencuri, mengedar dadah dan macam-macam kerja jenayah. Ada banyak kes mahkamah yang melibatkan pembunuhan. Rupa-rupanya media dan orang Malaysia lebih tahu mengatur kebijaksanaan.

Hubungan di dunia Melayu pada awal dan pertengahan abad ke-20 ditandai kekuatan hubungan nasionalisme. Negara Asia Tenggara Indonesia, Malaysia dan Filipina itu membentuk diri atas asas nasionalisme dan kenegaraan masing-masing. Situasi politik mutakhir di Malaysia, dianggapkan Ismail Hussein, satu zaman pancaroba, menambah ancaman kepada teras keMelayuan dan keIslaman. Kepimpinan Melayu dipermain dan diperlekehkan.

Ada gerakan menafikan status Perlembagaan sebagai akar tunjang survival bangsa dan negara Malaysia itu sendiri. Agaknya melihat kepada kemerosotan pengaruh pimpinan politik Melayu ini, seumpama retak menanti belah, maka kaum minoriti semakin berani menafikan hak majoriti yang kebetulannya Melayu dan bumiputera. Tidak ada orang akan mengatakan situasi begini menguntungkan negara, kecuali kelompok yang bersekongkol sama fahaman. Jadi tidak hairanlah, bibit perkauman bercambah tumbuh subur kembali. Seorang pembantu rumah Indonesia dianggapkan anak rumpun Melayu, maka mungkin dengan mendera si amah itu seumpama cara mengenakan Melayu.

Umat Melayu kian lemah dan mengecil rasa kesatuannya. Apakah tindakan politik yang tidak bijaksana membawa kita menjadi Melayu kecil bukan Melayu besar?. Melayu sendiri pun agak lemah memperagakan kekuatan sejarah silam dan kekukuhan wawasan atau gagasan baru mereka. Kesedaran dan keinsafan tidak menyeluruh. Lihatlah apakah yang telah kita tunjukkan tentang kehebatan, kebesaran dan keagungan pemerintahan zaman kerajaan-kerajaan Melayu lama dari Funan ke Langkasuka, dari Seriwijaya ke Empayar Melaka atau keajaiban kemajuan dunia Melayu, khususnya Malaysia sesudah kemerdekaan.

Rakyat asing yang memilih menjadi warga baru Malaysia telah bersama menikmati kemakmuran, lebih baik kehidupan ekonominya bahkan bebas berpolitik. Satu rekonstruksi sejarah Malaysia atau sejarah Dunia Melayu amat kita perlukan. Para ilmuwan Malaysia dan Indonesia mesti bangkit dari kealpaan mengatur langkah ke hadapan. Melayu bukannya etnik lagi. Melayu adalah sebuah bangsa dan umat besar yang perlu memupuk rasa keserantauan mendalam. Visi, misi dan strategi baru hendaklah dilahirkan segera.

Rakyat Malaysia terkial-kial berbahasa Melayu patut malu

GAMBAR Juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2010 menjadi hiasan halaman 1 Utusan Malaysia Sabtu 6 Mac lalu. Di halaman 2 pula, disiarkan tajuk besar petikan ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya bahasa Melayu dimartabatkan dan diketengahkan ke peringkat dunia.

Tidak cukup dengan dua halaman itu, di halaman 3 juga turut dimuatkan gambar dan laporan PABM hampir satu muka penuh. Terima kasih Utusan Malaysia kerana sokongan dan usaha berterusan mendaulatkan bahasa Melayu.

Ibarat ‘perahu sudah di air, dan dayung sudah di tangan’. Apa lagi agaknya yang ditunggu oleh rakyat Malaysia yang masih sangsi akan kemampuan bahasa Melayu dan dasar pragmatik kerajaan membawa bahasa Melayu mengharungi arus globalisasi.

PABM edisi keempat menghimpunkan 56 peserta dari 51 negara mulai 2 Mac lalu. Jika menyebut nama negara-negara seperti Belanda dan Australia mungkin tidaklah begitu mengejutkan dari segi kebolehan dan minat mereka mempelajari bahasa Melayu.

Tetapi apabila dibariskan para peserta dari negara-negara seperti Amerika Syarikat, Itali, Bulgaria, Poland, Slovakia, Ukraine, Belarus, Turki, Jepun, Korea dan beberapa yang lain, tidakkah itu boleh mencetuskan kecemburuan dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak endah untuk menguasai bahasa kebangsaan sendiri?

Mengapakah masih ada rakyat Malaysia yang tidak yakin dengan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mampu menjadi bahasa antarabangsa? Selama dua minggu pertama bulan Mac ini, para peserta pidato dari negara-negara tersebut berkampung di Malaysia sambil memperlihatkan kebolehan mereka berbahasa Melayu. Mereka mempelajari bahasa itu di negara kelahiran mereka bukannya di sini.

Lebih jauh lagi, ada juga dalam kalangan peserta edisi terdahulu yang berusaha untuk mendalami ilmu berbahasa Melayu dengan menyambung pengajian di negara ini seperti yang dilakukan oleh Juara PABM 2007 dari Rusia, Olga Vasilevskaya.

Isu dan cabaran sebenar dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah sikap rakyat Malaysia sendiri.

Alasan lain seperti tuntutan globalisasi hanyalah menjadi ‘kambing hitam’ sahaja untuk menutup kelemahan dan sikap tidak peduli diri sendiri terhadap bahasa itu. Jika mahu seribu daya, jika tidak, seribu dalih.

Bersusah payah rakyat asing yang secara tradisinya tidak ada kena mengena dengan sosiobudaya, sosioekonomi atau sosiopolitik dengan kita mempelajari bahasa Melayu, tetapi ada sebahagian rakyat kita yang asyik tersasul apabila berbahasa Melayu. Ramai lagi yang masih malu menggunakannya kerana terasa kekampungan dan tidak canggih.

Lebih menghairankan lagi ada sekelompok masyarakat yang berusaha untuk memartabatkan bahasa asal nenek moyang mereka walaupun dalam masa yang sama berjuang menuntut kesamaan taraf dengan masyarakat keturunan pribumi. Tidakkah mereka berasa malu?

Sekali lagi ditegaskan bahawa ini adalah krisis sikap. Salah satu cara mengubahnya ialah melalui kepemimpinan melalui teladan. Para pemimpin wajib menunjukkan contoh dan sikap yang betul jika mereka ikhlas menyahut saranan Perdana Menteri itu.

Biasa-biasakanlah berbual dengan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Datuk Seri Ong Tee Kiat, Datuk Seri Chua Soi Lek atau dengan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Rakyat pula perlu menjadikan para pemimpin tersebut sebagai idola jika benar-benar ingin berbahasa Melayu dengan fasih dan berkeyakinan tinggi. Mereka sudah menjelajah dunia, tetapi tetap berpegang kepada falsafah ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Pekerja asing dari Bangladesh juga sudah menghayati falsafah ini!

Marilah sama-sama kita layari lautan globalisasi dalam bahtera 1Malaysia dengan membawa bersama bahasa kebangsaan kita. Jangan sampai nanti, tatkala singgah di mana-mana pelabuhan antarabangsa, kita disapa dalam bahasa Melayu sedangkan kita sendiri terkial-kial menyahutnya.

- utusan malaysia -