Isnin, 15 Mac 2010

152,070 kekosongan jawatan didaftar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 152,070 kekosongan jawatan didaftar dalam laman portal carian jawatan kosong Jobs Malaysia sehingga Mac ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata, mengikut statistik, sebanyak 78,423 majikan mendaftar pada tahun lalu, manakala pada tahun ini sehingga Mac sebanyak 13,115 majikan. “Jawatan kosong itu merangkumi pelbagai bidang pekerjaan iaitu pentadbiran pengurusan, profesional, teknikal, pekerja mahir, pekeranian sehingga peringkat terendah pekerja am,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Penempatan Pekerjaan anjuran Kelab Belia 1Malaysia Kota Damansara dengan usaha sama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, di sini semalam. Sebanyak 30 syarikat terbabit dalam program itu yang memberi peluang kepada pencari kerja bertemu dengan bakal majikan, mendapatkan maklumat serta memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan kehendak, kemahiran dan kelulusan yang dimiliki.

Maznah menasihatkan golongan siswazah agar tidak terlalu memilih pekerjaan sehingga menyukarkan mereka untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan, sebaliknya merebut peluang yang ditawarkan.

“Pengalaman bekerja diambil kira untuk proses temu duga seterusnya. Graduan seharusnya menjadikan pengalaman kerja sebagai satu proses mematangkan diri... tiada istilah tiada peluang pekerjaan kerana statistik menunjukkan masih banyak kekosongan jawatan,” katanya.

Beliau berkata, 152,070 kekosongan yang ada diharap dapat diisi graduan untuk mengelakkan lambakan pekerja asing.

- sumber berita harian -

Tiada ulasan: