Rabu, 10 Mac 2010

Umat Melayu besar atau Melayu kecil?

Oleh - A.Aziz Deraman

Pada 5 hingga 7 Februari lalu rombongan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), diketuai Tan Sri Prof Emeritus (Dr) Ismail Hussein telah ke kota Medan, Indonesia kerana Seminar Hubungan Kebudayaan Serumpun di Fakulti Sastera, Universiti Sumatera Utara (USU).

Acara kunjungan kali ini dimulakan dengan majlis forum pada 5 Februari di Perpustakaan Daerah Medan (PDM) yang turut dihadiri Konsul Jeneral Malaysia. Penulis, Ismail Hussein dan Kepala PDM menjadi ahli panel forum tersebut, manakala Datuk Dr Zainal Kling, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Prof Dr Wan Saifuddin, Dekan Fakulti USU menjadi pembicara seminar pada 6 Februari.

Isu hubungan Indonesia-Malaysia yang timbul sejak beberapa tahun lalu masih belum reda sepenuhnya. Di kota-kota dan di merata desa Indonesia, rakyatnya tidak henti bercakap tentang kezaliman dan penganiayaan di Malaysia, kononnya dilakukan para majikan Malaysia terhadap pembantu rumah dari Indonesia. Pekerja-pekerja kilang dan ladang ikut dikaitkan dengan situasi sama, kononnya diberikan upah tidak sepadan dan diperlakukan sebagai ‘hamba’ atau ‘budak’.

Dalam keadaan Malaysia seperti tiada pilihan, media Indonesia, baik elektronik terutama stesen TV dan akhbar-akhbar nasional serta daerah terus-menerus membuat liputan negatif. Sesudah menonton dan menatap beberapa beritanya, ternyata ada keserongan persepsi dan perspektif berbeza, tidak tepat dan dibuat-buat untuk publisiti, kepentingan kelompok, ada niat jahat atau fitnah.

Penulis memang mengamati hubungan Indonesia-Malaysia sejak 30 tahun lalu. Penulis pernah ke sana dan berada di Indonesia pada 1976, mengunjungi kota-kota utamanya dari Jakarta sehingga ke Ujung Pandang di Sulawesi dan sejauh Acheh di Sumatera atas biaya pemerintahnya melalui Departmen Pendidikan dan Kebudayaan. Sejak itu sudah belasan kali penulis berulang-alik atas urusan rasmi dan peribadi. Kenalan dalam pelbagai bidang semakin bertambah, apalagi setelah 10 tahun memimpin Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia.

Penulis masih mengekalkan silaturahim dan hubungan budaya dengan kelompok bahasawan, sasterawan dan cendekiawan di sana. Apalah ertinya semua hubungan mesra dan persahabatan selama ini, sehingga bara permusuhan ditiup kembali. Apakah mungkin timbul kerana adanya cucukan jarum asing atau gerakan dari dalam yang mencemburui keakraban hubungan dibina semasa pemerintahan Presiden Soeharto dan diperkukuh Presiden Bambang Yudhoyono sekarang atau saat mesra diplomatik yang dipulihkan semasa Presiden Soekarno akibat konfrontasi pada 1963?



Buta sejarah, budaya

Isu-isu mutakhir ini ternyata marak di kepala generasi muda. Generasi muda Indonesia agaknya sama dengan generasi muda Malaysia, kebanyakannya buta sejarah dan tidak celik budaya. Mereka sudah tidak memahami sejarah kepulauan Melayu atau kenapa bahagian besar Asia Tenggara itu dikenali sebagai dunia Melayu. Mereka tidak diajarkan lagi akan kesatuan sifat dan persatuan bangsa serumpun Melayu itu.

Mereka tidak tahu erti umat Melayu besar atau bezanya dengan Melayu kecil. Melayu besar yang berindukkan Asia Tenggara dengan diasporanya bertebar sehingga ke Afrika Selatan, Malagasi, Sri Lanka, Kepulauan Cocos di Australia dan gugusan kepulauan kecil di tengah lautan Pasifik itu belum ada gambaran di kepala.

Rasa dan minda budaya, persamaan amalan hidup, nilai, warisan dan kesenian yang bersumberkan bahan flora dan fauna yang sama itu tidak dihayati. Memori kesejarahan lebih 2,000 tahun lalu telah hilang. Indonesia merdeka pada 1945 dan Tanah Melayu pada 1957 sehingga terbentuknya Malaysia tahun 1963 itu, adalah nama-nama baru, tetapi sama geobudayanya.

Dalam sejarah serumpun, migrasi penduduk dalam lingkungan serantau, jangan dianggapkan sebagai kedatangan bangsa asing. Istilah pendatang tanpa izin (PATI) sekarang timbul kerana sifat kenegaraan dan wilayah negara bangsa baru, misalnya Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura hari ini. Keberadaan rumpun Melayu keturunan Jawa, Minang, Banjar, Bugis, Rawa, Mandailing, Kerinci, Acheh di Malaysia itu adalah kerana perpindahan dan kembara silam di wilayah yang sama. Jadi kalau difikirkan, maka persoalan seni Ketoprak, Barongan, Wayang Purwa, Tarian Piring, Tarian Dabus atau sebagainya di Johor, Perak dan Selangor itu adalah warisan serumpun yang dibawa keturunan yang menetap di sini.

Orang muda di Indonesia menuntut hak dan mengatakan orang Malaysia sebagai pencuri atau ‘maleng’, satu istilah berat tanpa usul periksa. Soal tarian Pendet, asalnya Bali dan bersifat ritualistik, tidak pernah wujud di Malaysia dipanaskan seolah-olah Indonesia akan berperang esok lusa dengan Malaysia. Indonesia tidak perlu mendaftarkan hak cipta atau patennya, kerana itulah usaha mudah yang akan dipersetujui musuh terhadap kepentingan kesatuan kerangka peradaban atau umat Melayu besar tadi.

Kemelut hubungan Indonesia-Malaysia, sebenarnya tidak berapa menjadi pertikaian akademik dan kesarjanaan. Ilmuwan memahaminya. Dalam bitara kesarjanaan Melayu, nama Malaysia itu pernah digunakan sejak awal abad lalu lagi, apabila sarjana merujuknya kepada alam Melayu luas. Penggunaannya oleh Cesar Adib Majul, sarjana Filipina tersohor yang menulis ‘Islam Comes To Malaysia’ atau Wallace, sahabat Charles Darwin yang menulis ‘The Malay Archipelago’ berdasarkan taburan persamaan flora dan botani serantau.

Jadi kenapakah salah faham dan pertikaian baru boleh timbul jika tanpa nawaitu tidak sihat? Jika manusia serumpun ini cukup ilmu dan memahami geografi dan geobudaya alam sendiri, maka perkongsian perjuangan politik misalnya gerakan nasionalisme sebelum kemerdekaan Indonesia dan Malaysia menjadi amat mudah untuk difahami. Demikian juga perkongsian matlamat kesejah-teraan sosiobudaya di bidang bahasa, persuratan, nilai-nilai budaya yang sama, maka rasa dan minda Melayu besar itu akan sentiasa terpelihara.



Retak menanti belah

Semasa Seminar di USU, seorang anak muda kelompok pemikiran generasi baru menuduh orang Malaysia berhati busuk dan selalu dengkikan Indonesia. Keresahan sedikit timbul di kalangan audiens tetapi dapat diredakan Datuk Zainal Kling. Beliau menelusuri segala sifat asal budaya dan perkongsian sejarah tadi dan menuding kepada masalah sikap orang seperti anak muda itu.

Banyak kes di Malaysia yang tidak digembar-gemburkan sebagaimana terjadi di tanah seberang. Ada pembantu rumah yang menipu majikan, mencuri barang kemas, melarikan anak majikan, membuang bayi, merabut, memecah masuk rumah, mencuri, mengedar dadah dan macam-macam kerja jenayah. Ada banyak kes mahkamah yang melibatkan pembunuhan. Rupa-rupanya media dan orang Malaysia lebih tahu mengatur kebijaksanaan.

Hubungan di dunia Melayu pada awal dan pertengahan abad ke-20 ditandai kekuatan hubungan nasionalisme. Negara Asia Tenggara Indonesia, Malaysia dan Filipina itu membentuk diri atas asas nasionalisme dan kenegaraan masing-masing. Situasi politik mutakhir di Malaysia, dianggapkan Ismail Hussein, satu zaman pancaroba, menambah ancaman kepada teras keMelayuan dan keIslaman. Kepimpinan Melayu dipermain dan diperlekehkan.

Ada gerakan menafikan status Perlembagaan sebagai akar tunjang survival bangsa dan negara Malaysia itu sendiri. Agaknya melihat kepada kemerosotan pengaruh pimpinan politik Melayu ini, seumpama retak menanti belah, maka kaum minoriti semakin berani menafikan hak majoriti yang kebetulannya Melayu dan bumiputera. Tidak ada orang akan mengatakan situasi begini menguntungkan negara, kecuali kelompok yang bersekongkol sama fahaman. Jadi tidak hairanlah, bibit perkauman bercambah tumbuh subur kembali. Seorang pembantu rumah Indonesia dianggapkan anak rumpun Melayu, maka mungkin dengan mendera si amah itu seumpama cara mengenakan Melayu.

Umat Melayu kian lemah dan mengecil rasa kesatuannya. Apakah tindakan politik yang tidak bijaksana membawa kita menjadi Melayu kecil bukan Melayu besar?. Melayu sendiri pun agak lemah memperagakan kekuatan sejarah silam dan kekukuhan wawasan atau gagasan baru mereka. Kesedaran dan keinsafan tidak menyeluruh. Lihatlah apakah yang telah kita tunjukkan tentang kehebatan, kebesaran dan keagungan pemerintahan zaman kerajaan-kerajaan Melayu lama dari Funan ke Langkasuka, dari Seriwijaya ke Empayar Melaka atau keajaiban kemajuan dunia Melayu, khususnya Malaysia sesudah kemerdekaan.

Rakyat asing yang memilih menjadi warga baru Malaysia telah bersama menikmati kemakmuran, lebih baik kehidupan ekonominya bahkan bebas berpolitik. Satu rekonstruksi sejarah Malaysia atau sejarah Dunia Melayu amat kita perlukan. Para ilmuwan Malaysia dan Indonesia mesti bangkit dari kealpaan mengatur langkah ke hadapan. Melayu bukannya etnik lagi. Melayu adalah sebuah bangsa dan umat besar yang perlu memupuk rasa keserantauan mendalam. Visi, misi dan strategi baru hendaklah dilahirkan segera.

Tiada ulasan: