Isnin, 23 Ogos 2010

Belia mampu ubah landskap peradaban

Suara golongan belia mampu merintis hala tuju masyarakat global dan membawa perubahan yang besar kepada landskap peradaban dunia.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berkata, untuk menjadi pemimpin yang baik, golongan belia di seluruh dunia perlu berani bersuara dan bersedia melakukan pembaharuan.

"Berbanding generasi terdahulu, generasi muda mempunyai suara yang lebih berkuasa kerana golongan ini yang mendominasi sebahagian besar populasi dunia.
"Saya menyeru pemimpin-pemimpin muda yang ada agar berganding bahu memupuk persefahaman dan kerjasama yang erat supaya peradaban dunia yang lebih baik dapat dibentuk," katanya.
Beliau berkata demikian melalui siaran rakaman video pada majlis perasmian Persidangan Model Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (GMUN) 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu; Presiden Perhimpunan Agung GMUN 2010, Yue Qiushi dan Ketua Setiausaha GMUN 2010, Estaban Ramirez Gonzalez.
Pada persidangan itu, hampir 500 peserta berusia antara 18 hingga 24 tahun termasuk 62 wakil dari Malaysia diberikan peranan sebagai diplomat atau wakil tetap ke PBB bagi mengambil bahagian dalam simulasi sesi pleno Perhimpunan Agung PBB (UNGA).
Resolusi persidangan itu akan dibentangkan kepada Presiden UNGA, Joseph Deiss bulan depan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha GMUN 2010, Estaban Ramirez Gonzalez dalam ucapannya berkata, penyertaan beliau dalam GMUN 2010 adalah sebahagian daripada proses pembelajaran untuk menjadi seorang pemimpin.

"Persidangan ini memberi peluang kepada generasi muda menyalurkan pendapat, berkongsi idea dan mencari penyelesaian kepada isu-isu global yang timbul pada hari ini.
"Ia merupakan satu platform yang terbaik untuk mengasah bakat kepimpinan kami," katanya

Tiada ulasan: