Sabtu, 28 Ogos 2010

PM sedia geran khas biaya program 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan akan mewujudkan geran khusus untuk program 1Malaysia bagi membolehkan golongan muda negara menjalankan aktiviti yang menyokong semangat gagasan berkenaan. Perdana Menteri berkata, pelancarannya dilaksanakan pada masa terdekat selepas pihaknya mencari mekanisme sesuai untuk merealisasikan idea yang dikemukakan menerusi Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN).
“Cadangan mengenai geran program ini antara idea yang baik dan ia akan dilancarkan untuk menyokong program 1Malaysia,” katanya selepas pembentangan hasil kajian makmal Pemuda BN di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, semalam.

Sesi townhall Makmal Pemuda BN itu membabitkan empat kumpulan iaitu pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, pendidikan serta perpaduan dan demokrasi itu adalah kemuncak sejak kaji selidik bermula Mac lalu. Keseluruhannya kaji selidik itu membabitkan lebih 7,500 responden di kalangan generasi muda yang sebahagian besarnya bukan ahli parti politik, tetapi belia tanpa sebarang kepentingan, selain mahu menyuarakan aspirasi, permasalahan dan cadangan dengan harapan menyumbang ke arah penambahbaikan khusus untuk belia. Berkaitan 1Malaysia, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, penerangan dari semasa ke semasa penting untuk memastikan kakitangan awam memahami dan jelas mengenai konsep gagasan berkenaan. “Bagaimanapun, tiada kompromi bagi yang cuba mencetuskan isu perkauman,” katanya. Najib juga menyambut baik saranan mewujudkan gaji minimum mengikut sektor bagi memastikan tenaga kerja negara tidak hidup di bawah paras kemiskinan.
Ditanya mengenai keahlian dalam BN, Najib berkata perkara itu dibincangkan dengan lebih terperinci pada konvensyen BN yang akan diadakan akhir tahun ini. Selain itu, pertanyaan mengenai subjek di sekolah yang bagaikan ‘memaksa’ pelajar, turut mendapat maklum balas Perdana Menteri yang akan menyampaikan perkara itu kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran. “Jika boleh, kita perkenalkan subjek yang fleksibel dalam kurikulum supaya pelajar dapat membuat pilihan,” katanya.

Tiada ulasan: