Isnin, 4 Mei 2009

PERUTUSAN PENGERUSI

PERUTUSAN PENGERUSI PERSATUAN BELIA MELAYU KAMPUNG IDAMAN (PEKIDAM) KETIKA MESYUARAT AGUNG PEKIDAM KALI PERTAMA 03 MEI 2009
=============================================================
Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum wbt., Salam Hormat dan Salam Sejahtera. Semoga tuan-tuan dan puan-puan, saudara-saudari sekalian berada dalam keadaan sihat sejahtera hendakNya.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir atas pemilihan saya sebagai pengerusi Persatuan Belia Melayu Kampung Idaman (PEKIDAM) bagi penggal 2009-2011. Sekalung penghargaan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang telah meluluskan permohonan Persatuan Belia Melayu Kampung Idaman (PEKIDAM)dan juga kepada Penaung PEKIDAM iaitu Y.Bhg Tuan Haji Nasaruddin bin Dato’ M.Zin, Penasihat PEKIDAM Encik Jamaluddin bin Omar yang mana telah banyak memberikan sokongan dan dorongan kepada PEKIDAM dalam menjayakan penubuhan persatuan belia ini.

Sebagaimana yang diketahui PEKIDAM ditubuhkan hasil cetusan idea Tuan Haji Nasaruddin bin Dato’ M.Zin, serta golongan remaja dan belia setempat yang inginkan satu pertubuhan belia ditubuhkan. Justeru itu, hasil daripada perbincangan antara beberapa belia dan remaja maka satu jawatankuasa penaja ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan dan juga pendapat daripada pemimpin setempat dan juga masyarakat. Hasil daripada pendapat dan pandangan yang diterima masyarakat setempat yang rata-ratanya menyokong penuh penubuhan PEKIDAM ini maka satu kertas kerja dirangka dan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa penaja pada 13 Ogos 2008 dan satu permohonan dihantar ke Pendaftar Pertubunan Belia Malaysia (ROY) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Alhamdulillah, Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) melalui surat PPPB.01-11/22220(01) bertarikh 15 April 2009 telah meluluskan Penubuhan Persatuan Belia Melayu Kampung Idaman (PEKIDAM) dengan nombor pendaftaran PPBM 2232/09. sehubungan dengan itu maka pada hari ini PEKIDAM merupakan satu pertubuhan belia yang berdaftar dibawah Pendaftar Pertubuhan Belia Malaysia (ROY), sudah pasti dengan penubuhan persatuan belia ini akan dapat memberikan ruang dan juga peluang kepada golongan belia dan remaja menyuarakan apa jua pendapat dan juga pandangan dalam usaha menangani dan membendung gejala sosial yang semakin merungsing ketika ini dan bersama-sama merangka pelbagai program seperti yang disarankan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui konsep ’3K’ iaitu KEPIMPINAN, KEUSAHAWANAN DAN KEMAHIRAN. Saya berharap dan menyeru kepada seluruh warga PEKIDAM supaya dapat memanfaatkan persatuan ini untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan mendekatkan diri dengan masyarakat.
Akhir kata, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa penaja yang banyak berusaha dalam menjayakan penubuhan PEKIDAM ini. Tidak lupa terima kasih juga ditujukan kepada Pegawai belia dan Sukan daerah Klang yang banyak membantu dan diharapkan agar kerjasama antara pihak PEKIDAM dan Pejabat Belia dan Sukan daerah Klang dapat dieratkan lagi.

Sekian, terima kasih.

SAIFUL AZMI BIN DATO’ M.ZIN
PENGERUSI PEKIDAM

Tiada ulasan: