Isnin, 4 Mei 2009

PERUTUSAN OLEH PEGAWAI BELIA DAN SUKAN DAERAH KLANG

PERUTUSAN OLEH PEGAWAI BELIA DAN SUKAN DAERAH KLANG KETIKA MESYUARAT AGUNG PEKIDAM KALI PERTAMA PADA 03 MEI 2009
==================================

Assalamualaikum wbt., Salam Hormat dan Salam Sejahtera
Semoga tuan-tuan dan puan-puan, saudara-saudari sekalian berada dalam keadaan sihat sejahtera hendakNya.
Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana mengizinkan saya mencoret sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama bagi Persatuan Belia Melayu Kampung Idaman (PEKIDAM) . Tahniah dan syabas diucapkan kepada pertubuhan ini kerana telah berjaya menubuhkan pertubuhan belia yang baru dan seterusnya menjadi sebahagian daripada jentera yang menjalankan berbagai jenis aktiviti khasnya untuk kemajuan para belia dan remaja di negara kita khususnya di daerah Klang. Tahniah dan syabas diucapkan.
Memadai saya nyatakan di sini bahawa visi Kementerian Belia dan Sukan Malaysia ialah mewujud dan membentuk belia Malaysia yang memiliki peribadi yang bersepadu dari segi rohaniah, akliah, jasmaniah, bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan Negara selaras dengan matlamat Wawasan 2020. Pihak Kementerian juga mendukung usaha kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dalam usaha kita bersama untuk memperkasakan kedudukan para belia di negara kita dan juga di persada antarabangsa. Saya masih ingat dengan ungkapan mantan Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi mengenai para belia dan remaja di negara kita. Beliau pernah mengatakan bahawa para belia yang berpersatuan dan melibatkan diri secara aktif adalah para belia yang berdisiplin dan bertanggungjawab. Mereka yang mempunyai wawasan dan iltizam yang tinggi, maka merekalah yang akan berjaya dalam hidup, Insya’Allah.
Justeru saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru para belia dan remaja agar tidak mensia-siakan masa hadapan dengan menjalankan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Sehubungan dengan itu, penglibatan diri di dalam pertubuhan seumpama ini dapat membentuk peribadi yang unggul dalam pelbagai aspek. Marilah bersama-sama bangkit untuk membawa Negara menuju ke mercu kejayaan seterusnya menjadi belia yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua ahli pertubuhan Persatuan Belia Melayu Kampung Idaman (PEKIDAM) diatas kejayaan dalam menubuhkan pertubuhan baru. Diharapkan pertubuhan ini akan merangka pelbagai aktiviti yang bercorak keilmuan, kemahiran, bina insan, pembangunan rohani dan jasmani serta usaha untuk mengeratkan tali silaturrahim dikalangan ahli-ahli pertubuhan sesama sendiri. Semoga usaha memantapkan dan menggembeling tenaga muda bagi pertubuhan akan diteruskan sehingga ke peringkat akar umbi. Saya sudahi ucapan ini dengan lafaz Wabilahitaufiq walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

DHARZUKY BIN DAUD
PEGAWAI BELIA DAN SUKAN DAERAH KLANG

Tiada ulasan: