Selasa, 9 Mac 2010

Berjuta-juta virus ancam komputer

Antivirus gagal kesan, kawal gangguan

KUALA LUMPUR: Jika anda rasa komputer anda dan datanya benar-benar selamat dengan sentiasa mengemaskini perisian antivirus, anda sebenarnya salah, kata seorang pakar virus komputer.

Naib Presiden Symantec Hosted Services Group (Asia-Pacific and Japan) Bjorn Engelhardt, berkata ada berjuta-juta virus dan spam yang dikeluar dan dimasukkan dalam internet serta mustahil untuk mana-mana program antivirus mengesan dan mengawal malware yang menyebabkan gangguan kepada komputer dan datanya.

“Inilah sebabnya kenapa anda perlu mengawasi aliran dalam internet. Dengan menggunakan kaedah ini anda boleh mengesan sebarang kemasukan data yang tidak biasa dan mengambil tindakan segera jika anda dapati sesuatu yang luar biasa.

“Perisian antivirus bertindak balas untuk virus dan spam yang dikenal. Apa yang kita bimbang ialah mengenai malware iaitu sesuatu yang baru... mereka dicipta dalam jumlah berjuta setiap hari. Sebagai contoh seseorang menghantar anda e-mel dengan alamat laman web dan anda klik ke atasnya.

“Walaupun komputer anda tidak rosak pada masa anda membuka laman web itu, malware akan masuk sendiri ke dalam komputer anda, mengambil semua data dan menghantar semula kepada orang yang memasukkan malware itu,” katanya dalam satu temu bual, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, komputer yang rosak akibat virus dilihat seperti ketinggalan zaman dan trend sekarang ialah memasukkan malware oleh spam melalui e-mel dan ‘mencuri’ maklumat peribadi pengguna untuk tujuan yang salah. Pasaran Asean dan China kini adalah sasaran utama aktiviti seumpama itu.

Katanya, laporan analisis Symantec menunjukkan pertambahan tahap spam pada Februari tahun ini sehingga 89.4 peratus, iaitu meningkat sebanyak 5.5 peratus sejak Januari.

Ketika jumlah spam meningkat pada Februari, saiz mesej spam menurun serentak dengan jumlah e-mel spam yang mengandungi lampiran.

Sepanjang tahun lalu, jumlah lampiran turun daripada 10 peratus pada April 2009 kepada kurang satu peratus pada Februari 2010, manakala purata saiz fail e-mel spam turun daripada 5Kb pada Oktober 2009 kepada 3.3Kb pada Februari 2010.

Daripada melampirkan imej secara terus kepada e-mel, penghantar spam kini memilih untuk menganjurkan imej secara talian dengan menawarkan perkhidmatan percuma dan mengurangkan purata saiz fail e-mel spam, katanya.

Pada Februari lalu, Engelhardt berkata, nisbah global spam dalam trafik e-mel daripada sumber baru dan sumber tidak baik yang tidak diketahui ialah 89.4 peratus, iaitu satu dalam 1.12 e-mel, menunjukkan kenaikan sebanyak 5.5 peratus berbanding Januari.

Nisbah global virus dari e-mel dalam aliran e-mel daripada sumber baru dan sumber jahat yang tidak diketahui sebelum ini ialah satu dalam 302.8 e-mel atau 0.33 peratus pada Februari 2010, meningkat 0.02 peratus sejak Januari.

Pada Februari, 30.5 peratus dari e-mel yang mengandungi malware mempunyai kaitan dengan laman web yang tidak baik, meningkat sebanyak 17.3 peratus sejak Januari 2010. - Bernama

Tiada ulasan: