Selasa, 9 Mac 2010

RM100j bagi peminjam Tekun

15,000 pemohon terima cek tidak lama lagi bagi memulakan perniagaan

SERDANG: Seramai 15,000 pemohon pinjaman Tekun Nasional yang masih dalam senarai menunggu kini boleh menghela nafas lega apabila kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta untuk diagihkan secara berperingkat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata masalah itu sudah diselesaikan Februari lalu dengan pemohon akan mendapat cek tidak lama lagi sekali gus boleh memulakan perniagaan.

“Separuh daripada cek sudah dikeluarkan dan separuh lagi dalam proses berikutan bilangan pemohon yang ramai,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Noh berkata, Tekun Nasional akan memastikan tidak ada lagi permohonan tertunggak tahun ini dan menegaskan tidak semestinya pemohon yang membuat pinjaman daripada agensi itu akan dapat seperti sebelum ini.

“Saya sudah maklumkan kepada Kabinet mengenai ketegasan itu kerana kita dapati ada pemohon yang mengambil kesempatan di sebalik kelonggaran Tekun memberi pinjaman termasuk menggunakan pinjaman yang diperoleh untuk membayar hutang,” katanya.

Noh berkata, Kabinet juga meluluskan penubuhan Kelab Komuniti Tekun di setiap kawasan Parlimen untuk membantu, terutama dalam mengenal pasti pemohon layak, mengutip hutang serta menyalurkan maklumat terkini berhubung pembiayaan.

Sementara itu, Noh berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mustafa Ahmad, menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan salinan laporan yang dibuat Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan mendakwa pembekalan kotak ikan berinsulasi gred makanan (KIBFG) dimonopoli sebuah syarikat dan pegawai LKIM adalah pemegang saham individu dalam syarikat berkenaan.

“Kita akan meneliti salinan laporan itu dan jika ada unsur dakwaan palsu, kita akan buat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil. Kita mahu memastikan tidak ada pihak membuat laporan sesuka hati mereka,” katanya

BERITA HARIAN ONLINE...

Tiada ulasan: