Selasa, 9 Mac 2010

'Biar tidak glamor tapi kami gembira'

JEMPOL 8 Mac - Bukan semua belia gemarkan kerja yang melecehkan serta merimaskan apatah lagi bergelumang dengan haiwan ternakan seperti kambing.

Tidak ramai juga yang berminat dengan haiwan ternakan, lebih- lebih lagi menguruskan penjagaan pemakanan, kandang serta persekitarannya.

Namun begitu biarpun terpaksa 'bermesra' dengan kambing jenis 'Cross Boer' dan 'Full Blood Boer' di Ladang Kambing Subur Sejahtera Sdn. Bhd. di sini, ia sudah semakin sebati kepada pelatih yang kini mengikuti latihan intensif penjagaan haiwan ternakan itu sejak beberapa bulan lalu.

Mereka yang menjalani latihan di sini merupakan penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Malah rata-rata pelatih yang ditemui Utusan Malaysia memberitahu, pendedahan seperti ini bukan sahaja dilihat baru malah ia membiasakan mereka dengan situasi seperti ini.

Bagi Nurbadriah Kamarulzaman, 23, sepanjang dia mengikuti latihan amali di sini, ia bukan sahaja mendedahkan tentang aspek penjagaan ternakan malah mempraktikkan apa yang telah dipelajari.

Katanya, ia juga memberikan pengetahuan mengenai jenis-jenis penyakit yang menyerang ternakan dan cara untuk mengatasinya.

"Biasanya ramai di kalangan generasi muda yang melihat aspek penternakan ini sesuatu yang dianggap tidak glamor malah tidak kurang yang menganggapnya sukar.

"Namun bagi saya ia memberikan lebih maklumat malah apa yang dapat saya lihat ia berpotensi untuk pergi lebih jauh dengan permintaan yang terus meningkat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rakannya, Nurul Ain Junoh, 23, berkata pengalaman berada di sini merupakan sesuatu yang menyeronokkan bukan sahaja dapat menimba ilmu malah merangsang dirinya untuk berjinak-jinak dalam bidang penternakan komersial.

Katanya, penternakan secara komersial ini bukan sekadar memerlukan modal besar tetapi turut mempunyai pengetahuan dan ilmu untuk menjadikan bidang yang menjana keuntungan.

"Bagi saya bidang ini boleh melangkah jauh bukan kerana potensinya malah permintaan ketika ini amat besar dan masih ada ruang untuk orang ramai menyertainya.

"Bagaimanapun ia memerlukan kepakaran dan kefahaman yang mendalam bagi memastikan apa juga bidang yang diceburi mendatangkan hasil," kata Nurul Ain.

Tiada ulasan: