Selasa, 4 Mei 2010

IKBN disyor wujud kursus permotoran

Berita Harian – Selasa, 4 Mei 2010

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mewujudkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang menawarkan kursus dalam bidang sukan terutama berteknologi tinggi seperti permotoran.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata pihak pengurusan IKBN sudah diarah menjalankan kajian mendalam mengenai perkara itu dan mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit termasuk Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Katanya, langkah itu diambil berikutan wujud permintaan pekerja mahir dalam bidang sukan khususnya permotoran dan usaha sedang diambil bagi memenuhi permintaan berkenaan.

“Industri sukan seperti golf dan permotoran memerlukan pekerja mahir khususnya dalam bidang teknikal serta pengurusan, jadi IKBN sewajarnya mengkaji untuk menawarkan kursus dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis konvokesyen IKBN Se-Malaysia kali keenam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Seramai 4,333 pelajar lepasan 16 IKBN, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan Kolej Kemahiran Belia Nasional (KKBN) di seluruh negara menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Yasin Salleh.
Turut diadakan majlis penyampaian Anugerah Usahawan Cemerlang Lepasan IKBN kepada Abu Bakar Sidek, 32, dan Rahmah Marlan, 40, serta 13 penerima Anugerah Pelajar Terbaik IKBN Se-Malaysia Tahun 2009.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata kementerian akan meneroka bidang latihan yang mempunyai permintaan tinggi seperti penyelenggaraan pesawat, teknologi pertanian, perhotelan dan spa, bagi memastikan pelajar lepasan IKBN memenuhi permintaan dalam bidang itu.

“Kementerian sedang melaksanakan pelbagai usaha memperkukuhkan kerjasama dengan pihak industri dalam usaha menambah baik kursus yang ditawarkan.

“Usaha ini diambil bagi memudahkan tugas memasarkan pelajar lepasan IKBN dan memastikan imbuhan diterima berpatutan dengan kemahiran dan kelayakan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lima daripada enam IKBN yang dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan beroperasi mulai tahun depan dengan tambahan jumlah pengambilan seramai 2,500 pelajar.

Tiada ulasan: