Selasa, 4 Mei 2010

Tambah peruntukan persatuan belia

Utusan Malaysia – Isnin, 3 Mei 2010

MELAKA 2 Mei - Kementerian Belia dan Sukan diminta menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada persatuan belia bagi membolehkan pelbagai kegiatan digerakkan dengan lebih berkesan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ia bagi membolehkan persatuan belia mengatur program memperkasakan golongan itu dengan lancar sepanjang tahun tanpa berhadapan masalah kekurangan peruntukkan.

Melalui langkah itu, katanya, persatuan belia akan lebih kreatif mengerakkan program mengikut keperluan belia dari semasa ke semasa.

''Dengan peruntukan yang cukup, persatuan belia akan lebih kreatif menganjurkan kegiatan yang memenuhi keperluan golongan itu, ia sekali gus menarik minat belia menyertai pertubuhan belia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Menutup Perkhemahan Remaja 'Ikhtibar Kehidupan Rakan Muda' peringkat negeri di sini hari ini.

Selain itu, katanya, cadangan itu secara tidak langsung membantu persatuan belia mengerakkan kegiatan menambah keahlian persatuan belia khususnya di Melaka.

''Kita harap apabila kementerian menambah peruntukan untuk pertubuhan belia, ia akan membantu menarik lebih ramai belia menyertai pertubuhan di negeri ini," katanya.

Kata Mohd. Ali, pada masa ini, kementerian berkenaan menyediakan peruntukan RM3,000 setahun kepada setiap persatuan belia terutama tugas pentadbiran.

Pada masa sama, beliau mengingatkan setiap persatuan belia di negeri ini agar lebih kreatif dalam mengerakkan kegiatan masing-masing dengan mempraktikkan kemudahan sedia ada.

Ini kerana, katanya, selain kompleks sukan, kemudahan pembangunan pelancongan sedia ada boleh digunakan bagi tujuan melaksanakan kegiatan belia khususnya dalam bidang sosial dan pendidikan.

Tiada ulasan: