Sabtu, 30 April 2011

Badrul Hisham bebas tuduhan hina DUN

sumber : utusan online

SHAH ALAM 29 April - Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Selangor hari ini membuat keputusan membebaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah daripada tuduhan menghina Dewan Undangan Negeri (DUN).


Bagaimanapun, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan itu mencadangkan denda sebanyak RM20,000 ke atas peguam ADUN berkenaan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun ekoran surat yang dikemukakan oleh firma guamannya kepada Speaker DUN, Datuk Tan Chang Khim meminta bayaran kos mahkamah sebanyak RM40,000 pada 12 April lalu.
Menurut Manoharan, ADUN Pelabuhan Klang itu didapati tidak menghina DUN kerana tidak terbabit dalam mengeluarkan arahan supaya surat tuntutan kos mahkamah itu dihantar kepada Chang Khim.


‘‘Selepas mendengar penjelasan Badrul Hisham, kita dapati beliau tidak mengeluarkan arahan kepada peguamnya (Mohd. Hafarizam ) agar mengemukakan surat berkenaan.
‘‘Justeru, kita bebaskan beliau daripada dakwaan menghina DUN. Sebaliknya, Mohd. Hafarizam didapati bersalah kerana menghina DUN setelah mengemukakan surat tersebut termasuk tidak hadir pada sesi pendengaran JKHK hari ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi pendengaran itu, di sini hari ini.


Prosiding berkenaan berlangsung selama satu jam setengah bermula pukul 10 pagi ini.
Surat berkenaan menyebut bahawa Badrul Hisham menerusi peguamnya itu meminta Chang Khim melalui Tetuan Tommy Thomas supaya menjelaskan bayaran kos seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Februari lalu.
Ini berikutan keputusan mahkamah tersebut yang mengesahkan Badrul Hisham sebagai ADUN yang sah dan mengenepikan tindakan Speaker DUN mengisytiharkan kekosongan kerusi Pelabuhan Klang.


Surat itu turut meminta Chang Khim menerusi peguamnya melakukan pembayaran tersebut dalam tempoh tujuh hari atau diisytiharkan muflis sekiranya gagal berbuat demikian selepas tempoh yang ditetapkan.
Mengenai tindakan ke atas Mohd. Hafarizam, Manoharan berkata, pihaknya menyerahkan kepada DUN sama ada mahu menerima atau menolak cadangan denda berkenaan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, tuntutan kos mahkamah sebanyak RM40,000 itu telah pun dibayar oleh Chang Khim kepada firma peguam itu pada 22 April lalu dengan menggunakan wang kerajaan negeri.

Tiada ulasan: