Sabtu, 30 April 2011

Program khas Mara lahirkan modal insan global

sumber : utusan online 30/04/2011


KUALA LUMPUR 29 April - Majlis Amanah Raya (Mara) mewujudkan tiga program khas dalam Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains Mara (SPMRSM) mulai tahun ini dalam usaha menyediakan modal insan yang mampu bersaing di peringkat global.


Ketua Pengarah Mara, Ibrahim Ahmad berkata, program itu meliputi pendidikan pintar cerdas dengan pendekatan melalui penemuan dan penyelidikan, selain integrasi ilmu sains dan tahfiz melalui program Ulul Albab.


Katanya, menerusi program berkenaan, para pelajar turut berpeluang mengambil peperiksaan peringkat antarabangsa, International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian di universiti luar negara lebih awal.


"Buat permulaan program itu dilaksanakan di MRSM Pekan, Pahang dan disertai 180 pelajar maktab berkenaan.


"Kita merancang untuk mewujudkan tiga lagi maktab tahun depan masing-masing di Parit, Perak, Johor Bahru dan Sandakan, Sabah yang boleh menampung 1,000 pelajar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini hari ini.


Perasmiannya disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Hadir sama Timbalan Menterinya, Datuk Hasan Malek.


Pada majlis tersebut seramai 30 pelajar cemerlang yang memperoleh semua A+ bagi semua subjek dalam peperiksaan SPM termasuk empat penerima anugerah Al-Huffaz program Ulul Albab.


Turut dirai adalah maktab terbaik meliputi kategori Bukan MRSM Program Khas Pendidikan ; MRSM Program Khas Pendidikan dan sekolah bantuan penuh kerajaan.
Dalam pada itu Ibrahim berkata, pihaknya berjaya mengutip RM400 juta bayaran balik pinjaman daripada para pelajar tajaan mereka selain tidak berhasrat mengenakan tindakan keras seperti dilakukan sesetengah pihak.


Terdahulu Mohd. Shafie dalam ucapan perasmiannya berkata, kementeriannya akan terus menumpukan usaha memartabatkan ilmu demi pembangunan anak bangsa

Tiada ulasan: